30 Januari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Pendengaran

Seseorang individu palsi serebrum berkemungkinan juga mengalami ketidakupayaan atau masalah-masalah sampingan yang lain. Ia termasuklah masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah pembelajaran, masalah tingkahlaku, masalah persepsi, terencat akal, masalah pertumbesaran, epilepsi dan lain-lain. Bukan semua ketidakupayaan atau masalah sampingan tersebut akan dialami oleh seseorang itu. Selain itu, ketidakupayaan atau masalah sampingan yang dihadapi oleh seseorang individu palsi serebrum adalah berbeza daripada individu-individu palsi serebrum yang lain.

* Kami akan ceritakan ketidakupayaan atau masalah-masalah sampingan tersebut dengan lebih terperinci. Kami akan fokus kepada satu ketidakupayaan atau masalah sampingan tersebut pada setiap catatan. Dalam catatan minggu ini, kami ingin memulakan dengan masalah pendengaran terlebih dahulu. *


Masalah Pendengaran
Ada antara faktor yang menyebabkan masalah pendengaran pada bayi dan kanak-kanak juga merupakan faktor yang menyebabkan palsi serebrum. Faktor-faktor itu adalah seperti kekurangan berat badan bagi bayi baru lahir, penyakit kuning dan kekurangan oksigen. Oleh itu, tidak hairanlah individu palsi serebrum lebih terdedah kepada masalah pendengaran berbanding dengan orang lain. Bagaimanapun, hanya segelintir kecil individu palsi serebrum yang mengalami masalah pendengaran.

Secara umumnya, terdapat dua jenis masalah pendengaran iaitu conductive dan sensorineutral. Masalah pendengaran conductive merupakan masalah pada telinga luar atau telinga tengah yang menghalang aliran suara dari persekitaran daripada sampai ke saraf auditori yang sempurna. Manakala masalah pendengaran sensorineutral pula merupakan kerosakan pada telinga dalam atau saraf auditori yang menghalang otak daripada menerima signal yang betul.

Kedua-dua jenis masalah pendengaran boleh berlaku pada individu-individu palsi serebrum.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Pertuturan pada 6 Februari 2011

23 Januari 2011

Jenis-Jenis Palsi Serebrum

Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia (ataxic).


Spastik
Seseorang dikatakan mengalami palsi serebrum jenis spastik sekiranya dia mengalami ketegangan otot yang terlampau tinggi. Ketegangan ototnya berkemungkinan akan meningkat apabila dia melakukan sesuatu. Hal ini menyebabkannya kelihatan kaku atau keras.

Palsi serebrum jenis spastik boleh dibahagikan lagi kepada tiga kategori yang lebih spesifik berdasarkan bahagian badan yang terjejas iaitu paraplegia, hemiplegia dan diplegia. Bagi seseorang yang dikategorikan sebagai spastik paraplegia, kedua-dua tangan dan kaki serta tengkuknya terjejas. Kebanyakannya tidak dapat berjalan. Apabila hanya sebelah kiri atau kanan badan sahaja yang terjejas, seseorang itu digolongkan sebagai spastik hemiplegia. Dia akan kelihatan tempang semasa berjalan. Bagi seseorang yang mengalami spastik diplegia pula, kakinya adalah lebih terjejas daripada tangan. Fungsi tangannya mungkin terjejas sedikit atau tidak mengalami sebarang masalah.

Athetosis
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis athetosis mengalami gabungan tahap ketegangan otot iaitu ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat tinggi dan ada kalanya mengalami ketegangan otot yang sangat rendah. Seseorang itu selalunya menunjukkan pergerakan luar kawalan atau pergerakan secara tidak sengaja. Dia sukar mengekalkan posturnya semasa duduk atau berjalan. Dia memerlukan usaha dan tumpuan yang tinggi untuk mengunjurkan tangannya ke arah sesuatu seperti menggaru hidungnya atau mencapai sesebuah buku.

Ataxia
Seseorang yang mengalami palsi serebrum jenis ataxia pula menghadapi masalah koordinasi dan keseimbangan badan. Seseorang itu biasanya boleh berjalan tetapi tidak stabil. Dia akan berjalan dengan melebarkan jarak antara kedua-dua kakinya untuk mengimbangkan badannya. Tangannya akan bergetar semasa melakukan sesuatu khususnya apabila dia perlu melakukan pergerakan yang tepat atau pergerakan pantas seperti semasa membutangkan baju atau menulis. Keadaan akan bertambah teruk apabila dia disuruh melakukan sesuatu dalam masa yang singkat.


Kebanyakan individu palsi serebrum dikategorikan jenis spastik, dan ia diikuti dengan athetosis dan ataxia. Walaubagaimanapun, seseorang itu berkemungkinan mengalami lebih daripada satu jenis palsi serebrum. Hal ini bermaksud dia berkemungkinan mengalami palsi serebrum jenis spastik dengan athetosis, palsi serebrum jenis spastik dengan ataxia, palsi serebrum jenis athetosis dengan ataxia atau palsi serebrum jenis spastik, athetosis dengan ataxia.



Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Pendengaran pada 30 Januari 2011

16 Januari 2011

Tanda-Tanda Awal Palsi Serebrum

Palsi serebrum yang dialami seseorang bayi biasanya tidak dapat dikenalpasti semasa dia dilahirkan. Seseorang itu akan mula menunjukkan tanda-tanda palsi serebrum dalam masa 18 bulan pertama dia dilahirkan sehingga dia berumur 3 tahun. Seseorang bayi yang mengalami palsi serebrum tahap teruk biasanya dapat didiagnosiskan apabila dia berumur lebih kurang 3 bulan.

Antara tanda-tanda awal palsi serebrum yang ditunjukkan oleh seseorang adalah seperti:
  • mengalami kesukaran untuk menghisap dan menelan minuman

  • menangis dengan suara yang agak lemah atau terlalu kuat

  • anggota badan yang lembik (ketegangan otot yang terlalu rendah) atau terlalu keras (ketegangan otot yang terlalu tinggi)

  • sukar menelan dan menolak makanan keluar daripada mulut apabila diberi makan

  • tidak mencapai tahap-tahap perkembangan mengikut masa yang diramalkan seperti lambat belajar berguling, mengangkatkan kepala, duduk, merangkak, berdiri, berjalan, mengenggam sesuatu, senyum dan sebagainya

  • hanya menggunakan sebelah anggota badan untuk melakukan sesuatu

  • mengalami masalah-masalah lain seperti epilepsi, masalah pernafasan, masalah penglihatan, masalah pendengaran dan masalah pertuturan

Tanda-tanda awal yang ditunjukkan oleh bayi dan kanak-kanak palsi serebrum adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat juga tanda yang sukar dikesan oleh orang lain yang tidak berkemahiran dalam bidang perubatan. Oleh itu, ibubapa atau penjaga yang mempunyai anak yang mengalami perkembangan lewat atau menunjukkan tanda-tanda awal palsi serebrum haruslah membawa anak mereka itu berjumpa dengan doktor seawal yang mungkin untuk mendapatkan pemeriksaan. Hal ini penting untuk membolehkan anak itu mendapatkan terapi seawal yang mungkin sekiranya dia mengalami palsi serebrum atau ketidakupayaan lain.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Jenis-Jenis Palsi Serebrum pada 23 Januari 2011

09 Januari 2011

Punca-Punca Palsi Serebrum

Palsi serebrum disebabkan oleh kerosakan otak yang berlaku semasa seseorang (fetus) masih berada dalam kandungan ibu lagi, semasa seseorang dilahirkan dan dalam beberapa tahun pertama selepas seseorang dilahirkan.

Antara punca-punca yang menyebabkan terjadinya palsi serebrum termasuklah:
  • jangkitan bakteria pada ibu semasa mengandung seperti rubella

  • ketidakserasian darah ibu dengan kandungan

  • pengambilan alkohol dan dadah oleh ibu

  • kandungan kembar atau mengandung lebih daripada seorang anak

  • kelahiran awal atau pramatang

  • komplikasi semasa kelahiran seperti kekurangan oksigen kepada otak bayi, jangkitan pada otak bayi, dijangkiti penyakit kuning

  • kecederaan otak bayi akibat daripada jatuh, kemalangan, penderaan

Walaubagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan terjadinya palsi serebrum pada kebanyakan kes tidak dapat dikenalpasti.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Tanda-Tanda Awal Palsi Serebrum pada 16 Januari 2011

02 Januari 2011

Apa Itu Palsi Serebrum?

Palsi serebrum yang dipanggil Cerebral Palsy (CP) dalam bahasa Inggeris merupakan salah satu kategori ketidakupayaan perkembangan di mana bahagian-bahagian otak tertentu yang mengawal koordinasi dan pergerakan otot-otot dalam badan seseorang mengalami kerosakan. Ia boleh berlaku semasa seseorang itu masih berada dalam kandungan ibu, semasa dia dilahirkan atau dalam beberapa tahun pertama selepas dia dilahirkan.

Bahagian-bahagian otak yang mengalami kerosakan itu tidak akan sembuh buat selama-lamanya. Walaubagaimanapun, kerosakan itu juga tidak akan bertambah teruk. Hal ini bermaksud kerosakan itu akan berkekalan. Oleh itu, individu-individu palsi serebrum akan mengalami ketidakupayaan tersebut sepanjang hidup mereka. Mereka akan mengalami masalah pergerakan badan di mana motor kasar dan motor halus mereka terjejas. Mereka akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti berjalan, menguruskan diri, makan, menulis dan sebagainya.

Individu yang mengalami palsi serebrum adalah unik. Keadaan fizikal seseorang individu palsi serebrum adalah berbeza dengan individu palsi serebrum yang lain. Tiada dua individu palsi serebrum yang mengalami tahap ketidakupayaan yang sama. Tahap ketidakupayaan seseorang individu itu boleh dikategorikan dari sangat minima hingga sangat teruk. Seseorang yang dikategorikan pada tahap sangat minima biasanya berupaya menjalani kehidupan harian seperti biasa tanpa sebarang bantuan. Sebaliknya seseorang yang dikategorikan pada tahap sangat teruk pula memerlukan penjagaan sepanjang hari. Dia bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk melakukan segala aktiviti harian termasuk bergerak dan makan.

Secara umumnya, palsi serebrum boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu spastik (spastic), athetosis (athetoid) dan ataxia (ataxic). Seseorang itu mungkin juga mengalami gabungan dua atau ketiga-tiga jenis palsi serebrum. Selain itu, mereka yang mengalami palsi serebrum biasanya juga mengalami ketidakupayaan atau masalah lain. Ia termasuklah masalah pertuturan, masalah pendengaran, masalah penglihatan, masalah pembelajaran, terencat akal, masalah tingkahlaku, epilepsi dan masalah pertumbesaran.

Sungguhpun palsi serebrum tidak dapat diubati, namun keadaan fizikal seseorang mereka boleh bertambah baik dengan menjalani terapi seperti fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan; pengambilan ubat untuk mengurangkan ketegangan otot dan mengawal epilepsi; menjalani pembedahan untuk mengurangkan ketegangan otot atau memperbetulkan anatomi yang abnormal dan sebagainya.




Ikuti catatan seterusnya bertajuk Punca-Punca Palsi Serebrum pada 9 Januari 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...