27 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Intelektual dan Pembelajaran

Difahamkan bahawa dua per tiga daripada individu palsi serebrum mempunyai kecerdasan mental yang lebih rendah atau mengalami masalah intelektual. Satu per tiga daripadanya hanya mengalami masalah intelektual pada tahap minimum, manakala satu per tiga lagi pada tahap sederhana atau teruk. Individu palsi serebrum yang lain (satu per tiga daripada mereka) mempunyai kecerdasan mental yang normal, malah ada yang lebih tinggi.

Seseorang yang mengalami masalah intelektual akan menghadapi kesukaran dalam sesetengah aspek kehidupan. Mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam pengurusan diri, aktiviti-aktiviti harian, penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, bidang akademik, kemahiran komunikasi, kemahiran sosial, kemahiran bermain atau melibatkan diri dalam aktiviti masa lapang dan juga bekerja. Kesukaran yang dihadapi mereka adalah berbeza antara satu sama lain.

Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka hanya memerlukan masa yang lebih lama sedikit untuk mempelajari sesuatu yang baru. Dengan latihan atau terapi dan bimbingan, mereka berkeupayaan menjalani kehidupan berdikari dan hidup bermasyarakat.

Individu palsi serebrum baik yang mempunyai kecerdasan normal atau lebih rendah juga berkemungkinan mengalami masalah pembelajaran. Mereka yang mengalami masalah pembelajaran bukan bermaksud mereka ini tidak boleh belajar. Mereka mungkin memerlukan strategi pembelajaran yang berlainan atau memerlukan masa yang lebih panjang untuk belajar, dan mereka juga boleh mencapai kejayaan dalam pelajaran.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Epilepsi pada 6 Mac 2011

20 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Sensori dan Masalah Persepsi

Individu palsi serebrum berkemungkinan menghadapi masalah sensori dan masalah persepsi. Ada kanak-kanak palsi serebrum yang tidak peka terhadap sentuhan atau kesakitan. Mereka mungkin juga tidak dapat mengenalpasti akan sesuatu objek melalui sentuhan. Contohnya, mereka menghadapi masalah untuk mengenalpasti sama ada objek yang dipegang itu merupakan sebiji bola yang keras, sesuatu permainan yang lembut atau objek lain, sekiranya tidak melihat pada objek tersebut.

Ada yang menghadapi kesukaran untuk mempersepsikan atau mentafsir maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria terutamanya dalam bentuk cahaya (penglihatan) dan bunyi (pendengaran). Hal ini disebabkan oleh kecacatan otak yang tidak dapat mengintepretasikan maklumat-maklumat yang diterima oleh deria-deria. Hal ini berbeza daripada masalah penglihatan atan masalah pendengaran. Seseorang yang menghadapi masalah persepsi visual akan menghadapi kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menamakan objek yang dia nampak. Dia tahu bagaimana objek itu dipanggil tetapi dia tidak dapat atau lambat berfikir akan nama itu. Satu contoh lain ialah apabila dia diminta mencari atau mengambil sesuatu objek. Adakalanya dia nampak objek itu yang berada di depan matanya, tetapi tidak menyedari objek tersebut merupakan objek yang dicarinya lalu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari objek tersebut. Begitu juga dengan masalah persepsi audio. Seseorang itu dapat mendengar kita bercakap dengannya, tetapi otaknya tidak dapat atau lambat memproses apa yang kita cakap itu kepada maklumat yang berguna. Oleh itu, dia tidak atau lambat memberi respon kepada kita.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Intelektual dan Masalah Pembelajaran pada 27 Februari 2011

13 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Penglihatan

Individu-individu palsi serebrum bukan saja lebih terdedah kepada masalah pendengaran berbanding dengan orang lain, seperti yang dijelaskan dua minggu lalu, tetapi mereka juga lebih cenderung mengalami masalah penglihatan berbanding dengan individu-individu lain.

Salah satu masalah penglihatan yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak palsi serebrum ialah strabismus yang menyebabkan double vision. Hal ini berlaku kerana terdapat perbezaan kekuatan otot-otot mata kiri dengan mata kanan yang menyebabkan kedudukan kedua-dua mata yang tidak selari. Pembedahan biasanya dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.

Ada juga individu palsi serebrum yang menghadapi masalah penglihatan lain seperti hemianopia. Hemianopia merupakan suatu keadaan di mana sebahagian mata seorang itu menghadapi masalah penglihatan atau buta. Ia berlaku sama ada pada bahagian kiri atau bahagian kanan mata seseorang dan boleh berlaku pada salah satu mata atau kedua-dua belah mata. Apabila ia berlaku pada kedua-dua belah mata, bahagian kiri atau bahagian kanan kedua-dua mata itu tidak dapat melihat atau buta.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Sensori dan Masalah Persepsi pada 20 Februari 2011

06 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Pertuturan

Bagi membolehkan komunikasi yang efektif berlaku, seseorang mesti berkebolehan menerima maklumat auditori yang kompleks dan memprosesnya dalam masa yang singkat. Setelah memproses atau mengintepretasi maklumat tersebut, seseorang itu mesti berkebolehan untuk memberi respon terhadap maklumat tersebut secara lisan atau verbal termasuk berkeupayaan mengawal otot-otot pada mulut dan lidah untuk menyuarakan fikiran atau responnya. Proses-proses ini sememangnya diambil mudah bagi orang yang tidak mengalami masalah pertuturan.

Namun, banyak individu palsi serebrum menghadapi masalah pada salah satu atau lebih daripada satu proses tersebut. Individu palsi serebrum yang menghadapi masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk menerima maklumat auditori yang kompleks dari persekitaran. Mereka yang menghadapi masalah untuk mengawal pergerakan otot-otot pada mulut dan lidah serta masalah respirasi akan berasa sangat sukar untuk menyebut perkataan dengan jelas dan cepat.

Masalah-masalah lain yang dihadapi oleh individu palsi serebrum seperti masalah tingkahlaku atau kurang tumpuan juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat berkomunikasi secara efektif atau dalam tempoh masa yang panjang.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Masalah Penglihatan pada 13 Februari 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...