27 Februari 2011

Palsi Serebrum & Masalah Intelektual dan Pembelajaran

Difahamkan bahawa dua per tiga daripada individu palsi serebrum mempunyai kecerdasan mental yang lebih rendah atau mengalami masalah intelektual. Satu per tiga daripadanya hanya mengalami masalah intelektual pada tahap minimum, manakala satu per tiga lagi pada tahap sederhana atau teruk. Individu palsi serebrum yang lain (satu per tiga daripada mereka) mempunyai kecerdasan mental yang normal, malah ada yang lebih tinggi.

Seseorang yang mengalami masalah intelektual akan menghadapi kesukaran dalam sesetengah aspek kehidupan. Mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam pengurusan diri, aktiviti-aktiviti harian, penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, bidang akademik, kemahiran komunikasi, kemahiran sosial, kemahiran bermain atau melibatkan diri dalam aktiviti masa lapang dan juga bekerja. Kesukaran yang dihadapi mereka adalah berbeza antara satu sama lain.

Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka hanya memerlukan masa yang lebih lama sedikit untuk mempelajari sesuatu yang baru. Dengan latihan atau terapi dan bimbingan, mereka berkeupayaan menjalani kehidupan berdikari dan hidup bermasyarakat.

Individu palsi serebrum baik yang mempunyai kecerdasan normal atau lebih rendah juga berkemungkinan mengalami masalah pembelajaran. Mereka yang mengalami masalah pembelajaran bukan bermaksud mereka ini tidak boleh belajar. Mereka mungkin memerlukan strategi pembelajaran yang berlainan atau memerlukan masa yang lebih panjang untuk belajar, dan mereka juga boleh mencapai kejayaan dalam pelajaran.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Palsi Serebrum & Epilepsi pada 6 Mac 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...