15 Mei 2011

Terapi Cara Kerja

Terapi cara kerja tertumpu kepada kemahiran-kemahiran motor halus seseorang. Motor halus berfokus kepada otot-otot kecil kita seperti yang terdapat pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan jari. Antara kemahiran atau aktiviti yang melibatkan motor halus adalah seperti menggengam sesuatu dengan tangan dan melepaskannya, mengambil dan memanipulasikan sesuatu dengan tangan atau jari, menyuapkan makanan, membersihkan diri termasuk memberus gigi, mencuci muka, mandi dan memotong kuku, menyalin pakaian, menulis, membuat kraftangan dan melakukan aktiviti-aktiviti harian yang lain.

Terapi cara kerja penting untuk membimbing seseorang kurang upaya mempelajari cara-cara melakukan aktiviti-aktiviti harian khususnya menguruskan dirinya. Ia juga penting bagi seseorang upaya yang hilang keupayaannya akibat penyakit atau kemalangan untuk mempelajari semula kemahiran-kemahiran menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Ia akan membantu seseorang kurang upaya sama ada yang mengalami masalah pergerakan tangan, masalah sensori khususnya masalah penglihatan dan masalah yang berkaitan dengan deria sentuhan dan masalah kognitif untuk mempelajari pelbagai aspek kehidupan supaya mereka dapat hidup berdikari.

Seperti fisioterapi, terapi cara kerja juga harus dimulakan sejak individu-individu palsi serebrum masih kecil lagi. Melalui terapi cara kerja, mereka terutamanya kanak-kanak kecil akan dibimbing dan dilatih untuk menghulurkan kedua-dua tangan ke hadapan, mencapai sesuatu, mengenggam dan melepaskannya, dan mengambil atau memanipulasikan sesuatu dengan jari. Terapi ini juga menekankan aspek koordinasi mata dengan tangan yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kehidupan. Mereka biasanya akan digalakkan dan dilatih melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan mengunakan alat permainan. Kemahiran-kemahiran yang dipelajari ini akan membolehkan mereka bermain dengan pelbagai alat permainan, yang seterusnya dapat membantu perkembangan otak mereka.


Seterusnya kanak-kanak palsi serebrum akan dibimbing dan dilatih akan cara-cara melakukan aktiviti-aktiviti harian termasuk memberus gigi; membasuh muka; membasuh tangan; mandi; memakai baju, seluar, stoking dan kasut dan sebaliknya; membutang dan menzip; menyikat rambut; menyuap sendiri makanan dan minuman; dan sebagainya.


Terapi ini juga akan membantu mereka dalam aspek pembelajaran. Mereka akan dibimbing dan dilatih menulis, mewarna dan membuat kraftangan yang melibatkan pelbagai proses termasuk menggunting dan melekat dengan gam. Aktiviti-aktiviti yang diajar adalah berdasarkan perkembangan semasa seseorang. Selain itu, mereka akan diajar melakukan sesuatu aktiviti kehidupan dengan menggunakan cara mudah dan bersesuaian dengan keupayaan masing-masing. Contohnya, seseorang yang tidak berupaya memegang pensel akan diajar menaip.


Aktiviti-aktiviti kehidupan lain yang lebih rumit seperti menyapu lantai, mengelap, membasuh pingan mangkuk, melipat pakaian dan sebagainya mungkin juga akan diajar berdasarkan keupayaan seseorang. Dengan latihan melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan dan mungkin juga aktiviti-aktiviti lain, masalah yang berkaitan dengan deria sentuhan seperti terlalu sensitif terhadap sentuhan juga akan ditangani. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain atau permainan juga diberi seperti memory game yang dapat membantu perkembangan kognitif seseorang termasuk kemahiran mengingat. Secara tidak langsung, mereka akan mempelajari kemahiran sosial apabila bermain dengan jurupulih atau rakan-rakan lain.

Di samping itu, jurupulih terapi cara kerja akan bekerjasama dengan jurupulih fisioterapi untuk menentukan kerusi atau kerusi roda yang sesuai bagi seseorang individu palsi serebrum. Jurupulih terapi cara kerja juga akan mencari dan memperkenalkan alat-alat adaptasi atau khas yang akan membolehkan atau memudahkan seseorang individu palsi serebrum menjalankan kehidupan harian. Ia termasuklah kerusi mandi, sudu dengan pemegangnya yang besar, cawan yang mempunyai pemegang khas atau yang berbentuk khas untuk membolehkan seseorang minum dengan mudah, pengubahsuaian butang atau zip pakaian dan sebagainya.

Ikuti catatan seterusnya bertajuk Terapi Pertuturan pada 22 Mei 2011

1 ulasan:

  1. Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia
    saya nak tanya..kanak-kanak CP lebih suka belajar secara kumpulan ( dalam kalangan CP) atau secara individu..

    sekian terima kasih

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...