28 Ogos 2011

Keyguard bagi Papan Kekunci

Sesetengah individu palsi serebrum dan mungkin juga OKU lain menghadapi masalah untuk menaip atau menekan kekunci-kekunci yang diingini dengan tepat. Semasa cuba menaip sesuatu aksara, mereka selalunya akan tertekan kekunci-kekunci yang tidak diingini khususnya yang berhampiran dengan aksara yang ingin ditekan itu, sama ada dengan jari-jari atau tapak tangan. Hal ini disebabkan oleh masalah-masalah pergerakan tangan yang dialami seperti pergerakan yang tidak sengaja, pergerakan yang tidak terkawal atau bergetar-getar dan tidak dapat menstabilkan tangan.

Bagi menangani atau mengurangkan masalah ini, mereka mungkin boleh menggunakan keyguard. Keyguard merupakan satu permukaan plastik yang berbentuk segiempat tepat dan saiznya lebih kurang sama seperti papan kekunci yang digunakan. Permukaannya berlubang-lubang mengikut susun atur kekunci-kekunci pada papan kekunci yang digunakan. Keyguard akan dilekatkan di atas sesuatu papan kekunci itu.



Dengan adanya keyguard, kebanyakan mereka itu boleh menekan kekunci-kekunci atau menaip sesuatu dengan tepat dan mudah. Mereka menekan sesuatu aksara yang diingini dengan memasukkan jari ke dalam lubang yang berkaitan lalu menekan aksara tersebut. Keyguard dapat mengelakkan mereka daripada tertekan kekunci-kekunci lain dengan mudah. Hal ini seterusnya dapat mengurangkan kekecewaan mereka yang selalu tertekan kekunci-kekunci lain sekiranya tidak menggunakan keyguard. Mereka juga boleh meletakkan atau merehatkan tangan mereka pada keyguard semasa menaip.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Single Handed Keyboard pada 4 September 2011

21 Ogos 2011

Manipulasi Corak Kelakuan Papan Kekunci

Individu palsi serebrum atau OKU lain yang mengalami kesukaran untuk menekan dua kekunci secara serentak atau menggunakan tetikus biasa tetap boleh mengakses komputer tanpa menggunakan perkakasan komputer yang khas. Hal ini kerana kelakuan papan kekunci biasa yang kita semua gunakan boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan khas mereka. Kita hanya perlu memanipulasikan corak kelakuan atau aksessibiliti papan kekunci atau tetikus yang biasa.


Sticky Keys

Kesukaran individu-individu untuk menekan dua kekunci secara serentak boleh diatasi dengan mengaktifkan salah satu kelakuan papan kekunci yang khas iaitu Sticky Keys. Untuk mengaktifkan fungsi Sticky Keys, anda perlu pergi kepada Control Panel, klik ikon Accessibility Options untuk membuka tetingkapnya, mengaktifkan fungsi Sticky Keys yang boleh didapati pada tab Keyboard dalam tetingkap Accessibility Options dan akhirnya mengklik butang Apply diikuti dengan OK.


Dengan mengaktifkan fungsi Sticky Keys, mereka itu boleh menaip dengan hanya menekan satu kekunci saja pada satu-satu masa walaupun dua kekunci perlu ditekankan untuk menaip sesuatu aksara seperti '!', '%', '(', '&', ':', '?'; menaip huruf besar; dan melakukan pintasan tertentu dengan menggunakan papan kekunci seperti bold, underline, save dan sebagainya. Untuk menaip sesuatu huruf besar dan aksara-aksara tertentu itu serta melakukan fungsi tertentu, mereka itu perlu menekan kekunci 'Shift', 'Ctrl' atau 'Alt' terlebih dahulu dan diikuti dengan satu lagi kekunci yang berkaitan. Contohnya, mereka perlu menekan kekunci 'Shift' terlebih dahulu dan kemudiannya huruf 't' untuk menaip huruf besar 'T'; dan menekan kekunci 'Ctrl' terlebih dahulu dan kemudiannya huruf 's' untuk save sesuatu dokumen baru atau sebarang perubahan terhadapnya.


Mouse Keys

Mereka yang tidak berupaya atau sukar menggunakan tetikus boleh menggunakan papan kekunci biasa untuk menggerakkan cursor atau pointer, dengan mengaktifkan fungsi Mouse Keys. Untuk mengaktifkan fungsi Mouse Keys, anda perlu pergi kepada Control Panel, klik ikon Accessibility Options untuk membuka tetingkapnya, mengaktifkan fungsi Mouse Keys yang boleh didapati pada tab Mouse dalam tetingkap Accessibility Options dan akhirnya mengklik butang Apply diikuti dengan OK.


Dengan mengaktifkan fungsi Mouse Keys, mereka itu menggunakan numeric keypad yang terletak pada sebelah kanan papan kekunci untuk menggerakkan cursor, bagi menggantikan fungsi tetikus.


Layout bagi Mouse Keys


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Keyguard Bagi Papan Kekunci pada 28 Ogos 2011

14 Ogos 2011

Teknologi Maklumat & Komunikasi Membantu Individu Palsi Serebrum

Sememangnya tidak dapat dinafikan kehadiran teknologi maklumat dan komunikasi yang dikenali sebagai information technology and communication (ICT) dalam bahasa Inggeris banyak membantu kita dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, pekerjaan, komunikasi dan sebagainya. Golongan kurang upaya termasuk individu-individu palsi serebrum juga dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dengan kewujudan ICT khususnya komputer dan rangkaian internet serta perkakasan komputer yang khas.

Dengan adanya komputer, individu-individu palsi serebrum yang tidak berupaya menulis tetap boleh belajar khususnya membuat latihan dan berkongsi hasil fikiran mereka dalam bentuk tulisan. Mereka yang mengalami kesukaran menulis juga boleh belajar dan bekerja dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Hasil kerja yang ditaip adalah jauh lebih kemas dan mudah dibaca.

Dengan adanya rangkaian internet, individu-individu palsi serebrum boleh mengakses kepada maklumat dan berita terkini dengan mudah. Mereka khususnya yang mengalami masalah pertuturan juga boleh berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain dengan mudah melalui emel, yahoo messenger, facebook atau jaringan sosial lain. Mereka boleh mengakses pelbagai jenis maklumat dan berkomunikasi dengan orang lain dengan hanya duduk di hadapan monitor dan menggunakan papan kekunci serta tetikus. Dengan itu, mereka berpeluang meningkatkan pengetahuan mereka dan menjalani kehidupan sosial yang lebih baik. Selain itu, mereka juga boleh mengurangkan rasa boring dan tekanan dengan bermain permainan komputer, mendengar lagu, menonton klip video atau youtube dan sebagainya.

Namun begitu, bukan semua individu palsi serebrum berupaya mengakses komputer dengan menggunakan papan kekunci dan tetikus yang biasa dengan mudah. Sebilangan mereka berupaya menggunakan papan kekunci dan tetikus biasa tetapi mengalami kesukaran tertentu untuk menaip atau mengakses komputer dengan pantas seperti orang lain. Ada juga yang sangat sukar atau langsung tidak berupaya menggunakan perkakasan komputer tersebut. Contohnya, tidak berupaya atau sukar memegang tetikus dan mengawal pergerakannya serta menekan butangnya; tidak berupaya mengunjurkan tangan pada papan kekunci dan menekan kekunci-kekunci yang kecil dan rapat antara satu sama lain; sukar melihat aksara pada setiap kekunci pada papan kekunci kerana tulisannya agak kecil; selalu tertekan kekunci-kekunci yang tidak diingini semasa menaip; dan tidak dapat menekan dua kekunci tertentu secara serentak untuk menaip aksara tertentu seperti gabungan kekunci 'shift' dan '1' untuk menaip simbol seruan '!'. Bagaimanapun, perkembangan ICT yang membawa kepada penghasilan perkakasan-perkakasan komputer yang khusus seperti switch, one handed keyboard dan intellikeys telah membolehkan atau memudahkan individu-individu palsi serebrum mengakses komputer. Namun, semua atau kebanyakan perkakasan tersebut hanya dibuat di negara-negara tertentu saja dan dijual pada harga yang agak tinggi.


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Manipulasi Corak Kelakuan Papan Kekunci pada 21 Ogos 2011

07 Ogos 2011

Peralatan yang Membantu Mobiliti

Ada individu palsi serebrum yang berupaya berjalan sendiri. Ada yang memerlukan alat-alat sokongan mobiliti tertentu untuk berjalan khususnya bagi kanak-kanak atau remaja yang masih belajar berjalan. Alat-alat sokongan tersebut termasuklah rollator, walker dan tongkat yang boleh didapati dalam pelbagai jenis dan bentuk serta saiz. Setiap jenis dan bentuk itu mempunyai kegunaan dan kelebihan tersendiri. Pemilihan sesuatu alat sokongan bagi seseorang adalah berdasarkan keperluan atau keadaan fizikalnya dan juga kesesuaiannya.




Adakalanya, sesetengah individu yang berupaya berjalan itu perlu menggunakan kerusi roda pada masa tertentu. Contohnya, semasa mereka berada di luar bangunan yang keadaan jalannya tidak rata, semasa mereka perlu bergerak pantas, atau semasa mereka ingin bergerak pada jarak yang agak jauh atau lama. Penggunaan kerusi roda juga penting bagi kanak-kanak palsi serebrum yang masih belum berupaya berjalan atau yang baru saja mula belajar berjalan. Selain itu, ada yang langsung tidak berupaya untuk berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda buat seumur hidup mereka. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kerusi roda yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Walaubagaimanapun, secara umumnya kerusi roda boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kerusi roda biasa yang perlu ditolak sendiri atau seseorang dan kerusi roda bermotor yang boleh bergerak sendiri dengan hanya menekan atau mengawal suiznya saja.



Selain itu, sesetengah individu palsi serebrum yang berkerusi roda perlu juga diikat pada pinggang untuk memastikan mereka duduk dengan baik dan juga mengelakkan mereka terjatuh daripada kerusi roda. Ada juga yang kakinya terpaksa diikat pada kerusi roda untuk menghalang pergerakan kaki yang tidak terkawal. Sebilangan kecil mereka juga menggunakan kusyen atau alat sokongan untuk duduk supaya mereka dapat duduk dengan posisi yang betul. Tray mungkin juga dipasang pada kerusi roda untuk membolehkan mereka membuat aktiviti harian seperti belajar, menulis atau menaip dan makan selain meletakkan buku dan juga kedua-dua tangan mereka padanya. Carta komunikasi yang digunakan oleh seseorang juga boleh dilekatkan pada tray untuk memudahkannya berkomunikasi dengan orang lain.


(Gambar-gambar adalah dari laman web www.penang.medical.com.my)


Ikuti catatan seterusnya bertajuk Teknologi Maklumat & Komunikasi Membantu Individu Palsi Serebrum pada 14 Ogos 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...