09 Oktober 2011

Zaman Persekolahan Kami

Sebilangan kami telah pergi ke pusat-pusat yang menawarkan perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya seperti Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy sejak kami masih kecil lagi untuk mendapatkan terapi. Selain terapi, pusat-pusat tersebut mungkin juga menyediakan pendidikan khas. Maka, kami mula belajar di pusat-pusat tersebut (yang kami namakannya sebagai sekolah juga). Pada peringkat awal, kami biasanya belajar melalui permainan seperti kanak-kanak lain mempelajari sesuatu di rumah, taska mahupun tadika. Selain itu, kami juga diajar membaca, menulis (atau cara lain yang bersesuaian dengan keupayaan kami sekiranya tidak berkeupayaan untuk menulis) dan mengira.

Sekolah Khas atau Kelas Khas
Kebanyakan kami terus belajar di sekolah khas walaupun umur kami telah menjangkaui 7 tahun. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti masalah perkembangan fizikal dan mental kami, masalah kekeluargaan seperti tiada ahli keluarga yang boleh menghantar kami ke sekolah dan menjaga kami di sekolah, masalah pengangkutan, persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU dan sebagainya.

Di sekolah khas, kami diajar dengan berdasarkan keperluan dan keupayaan kami masing-masing. Kami diajar dengan berdasarkan silibus dan cara pengajaran serta pembelajaran yang bersesuaian dengan kami. Kami diajar subjek-subjek tertentu termasuk bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, matematik dan sains. Selain bidang akademik, kami juga diajar melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti membersihkan diri, memasak dan sebagainya; dan mengadakan lawatan sambil belajar. Di sini, kami sentiasa membantu antara satu sama lain seperti kami yang boleh berjalan menolak rakan yang berkerusi roda dari satu tempat ke tempat lain.

Bagi kami yang mengikuti pendidikan khas, ketika ibu bapa kami atau kami sendiri ditanya oleh orang lain atau suadara mara tentang tahap pendidikan yang kini kami ikuti – “sekarang anak kamu telah belajar tahun/tingkatan berapa?” atau ”sekarang anak kamu sudah berumur 10 tahun, jadi dia belajar dalam darjah 4”, kami teragak-agak untuk menjawabnya. Ibu bapa kami mungkin perlu menerangkan sistem pendidikan khas yang kami ikuti. Ada antara mereka faham akan masalah ketidakupayaan kami dan sistem pendidikan yang kami ikuti. Ada pula yang mungkin tidak faham walaupun telah diterangkan. Hal ini adakalanya membuatkan kami malas untuk menerangkannya. Ada juga antara mereka mungkin memandang rendah terhadap kami.

Bagi kami yang mempunyai adik yang telah bersekolah pula, mereka berkemungkinan telah belajar pada tahap yang lebih tinggi daripada kami. Mereka mungkin jauh lebih pandai daripada kami. Kami mungkin berasa segan terhadap mereka yang lebih kecil daripada kami.

Ada antara kami diintergasikan ke dalam sekolah biasa selepas beberapa tahun mengikuti pendidikan khas. Namun, ada juga sesetengah kami sebenarnya berpotensi untuk belajar di sekolah biasa, tetapi terpaksa meneruskan pelajaran di sekolah khas atas masalah tertentu. Hal ini amat mengecewakan kami.

Sekolah Biasa
Adalah bertuah apabila kami berpeluang belajar di sekolah biasa. Kami berpeluang mengikuti segala silibus yang diikuti oleh kanak-kanak/remaja yang sebaya dengan kami.

Walaubagaimanapun, kami perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk belajar bersama-sama mereka yang upaya di sekolah biasa. Antaranya,
  • Persekitaran sekolah yang kurang mesra OKU seperti tiada tandas OKU, lantai yang tidak rata, terdapat anak tangga di sana sini, kelas ditempatkan di tingkat atas, jarak antara kelas kami dan tempat-tempat yang penting seperti makmal, tandas dan dewan adalah jauh. Ada juga sekolah yang bukan saja tiada tandas OKU, tetapi semua tandas pelajar adalah jenis mencangkung yang sememangnya tidak sesuai bagi kami.
  • Sesetengah guru yang berasa takut atau tidak mahu menerima kami; atau mempunyai tanggapan negatif terhadap kami.
  • Ada pelajar-pelajar yang nakal suka mengejek atau membuli kami.
  • Bagi kami yang mengalami masalah pergerakan tangan, kami menghadapi kesukaran untuk menulis pantas. Hal ini seterusnya menyebabkan kami tidak sempat menyalin nota atau soalan-soalan yang dicatat atas papan hitam atau dibaca oleh guru. Kami terpaksa meminjam buku-buku dari rakan hampir setiap hari untuk menyiapkannya di rumah, meluangkan banyak masa untuk menyalin nota dan menghabiskan kerja sekolah di rumah.
  • Kami yang mengalami masalah pergerakan tangan juga menghadapi kesukaran untuk melakukan aktiviti tertentu dalam sesetengah subjek termasuk subjek Pendidikan Seni, Sains (menjalankan eksperimen), Kemahiran Hidup (praktikum dalam jahitan, kerja kayu, masakan dan sebagainya), Matematik (lukis graf, menggunakan jangka lukis dan proktator).
  • Kami yang bukan saja mengalami masalah pergerakan tangan tetapi juga masalah pertuturan sukar mengikuti subjek Muzik.
  • Kami tidak dapat atau sukar mengikuti Pendidikan Jasmani atau bersukan bersama-sama kawan-kawan.
  • Adakalanya, kami yang mengalami masalah pertuturan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan guru dan kawan.
Sesetengah kami bertuah kerana ada pihak sekolah, guru dan rakan yang baik. Contohnya, pihak sekolah yang menempatkan semula kelas kami di tingkat bawah untuk memudahkan pergerakan kami dan memberi masa tambahan kepada kami semasa peperiksaan; guru yang prihatin mungkin memberi salinan nota kepada kami dan memberi motivasi kepada kami untuk belajar; rakan sekelas yang sentiasa sudi membantu kami baik di dalam mahupun di luar kelas seperti meminjam buku, memimpin kami ke kelas-kelas lain atau tandas. Sokongan ini semua adalah amat penting bagi kami untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut agar kami dapat terus belajar.

Pendidikan adalah penting bagi semua termasuk kami yang mengalami palsi serebrum. Malangnya, ada sesetengah kami langsung tidak berpeluang ke sekolah. Kami seharusnya diberi peluang untuk mengakses pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan kami baik pendidikan biasa mahupun pendidikan khas supaya kami dapat merealisasikan potensi dan mempunyai masa depan yang lebih baik. Selain itu, aspek psikososial kami haruslah sentiasa diambil kira dalam mendidik kami. Semua pihak haruslah bekerjasama untuk memastikan kami mendapat pendidikan yang sewajarnya demi merangsang perkembangan menyeluruh yang merangkumi fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani.

Ikuti kisah Adik Ahmad Faid Ibrahim Memperolehi 4A & 1B Dalam UPSR & Mahu Jadi Profesor pada 18 Oktober 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...